Jumaat, 29 Mac 2013

AYAT PERINGATAN UNTUK DIRIKU

TERKUNCI HATI 

Kebiasaan buruk dan kelalaian dalam menunaikan ibadah kepada Allah akan menyebabkan banyak kesempitan di dalam dada. 
Hidup tidak tenteram, hidayah menipis, sudut pandang tidak benar, kebenaran terhijab dan akhirnya dibimbangi hati akan terkunci dari menerima panduan Ilahi. 
Kesan lain dari ini, keluarga menjadi tidak sakinah dan jauh dari rahmat Allah, anak-anak kian sepi dari hidayah, kehidupan menjadi semakin payah dan seterusnya perasaan akan berterusan resah gelisah. 
Sedangkan hal-hal yang sebalik dari itu, dapat dizahirkan melalui ketaatan dan ketabahan, bersabar dan selalu memohon keampunan dari Allah.

Hadirnya masalah demi masalah di dalam dalam kehidupan yang berhujung dengan perpisahan, berawal dari kelalaian mengingati Allah, mentadabbur ayat-ayatNya dan sering alpa dalam menjalankan syari'at Allah dan Rasulullah. Justeru itu, selagi masih ada kesempatan dan ruang untuk bernafas di bumi Allah, selama itu juga peluang dan pintu untuk bertaubat masih terbuka luas, maka bersegeralah melakukan pembaikpulihan sebelum nyawa dicabut dari badan.














Kerana itu, kehadiran pendamping yang beriman tidak kira isteri, ibu, anak-anak, saudara mara dan sahabat taulan sangat penting sebagai membuka jalan ke arah kebaikan agar hidayah Allah kembali tersingkap sinarnya. Tidak perlu mempertikaikan siapa menasihati siapa. Seorang ustaz boleh sahaja melakukan silap lalu diingatkan oleh sahabatnya, seorang jurutera. Seorang suami juga boleh melakukan dosa, lalu disedarkan oleh isterinya. Demikian seterusnya, kerana sifat sedia dibimbing dan membimbing perlu ada dalam diri manusia muslim dan mukmin.

 ( innamal mukminuna ikhwatun...al-Hujurat ) 
Sememangnya kita digalak berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran ( al-Asr ).

“ Ya Allah, ampuni hambaMu ini. Ampuni dosa-dosaku agar ia tidak menjadi hijab untuk aku melihat kebenaran yang berlaku. Lantaran aku tahu, setiap kebaikan walau sekecil zarah, ada ganjaran di sisiMu. Demikian juga dosa, walau sekecil zarah tetap ada balasannya. Jangan kerana kekhilafanku, anak-anak ‘terkunci hati’ untuk menerima nasihatku selepas ini..”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan