Jumaat, 29 Mac 2013

KU PERINGATKAN DIRI KU

BUKAN SEMATA PERASAAN











Sebagai wanita@perempuan, kita dibekalkan oleh ALLAH SWT dengan kelebihan emosi dan perasaan. Dengannya kita mampu menananggung sakit ketika melahirkan, kita juga mampu bersabar dengan tangisan dan 'perangai' anak-anak yang berencam, dan pelbagai lagi 'mampu' yang terhasil dari kelebihan kurniaan-NYA ini.

Akan tetapi, ingin kuperingatkan diriku...atas nama TUHAN Yang Maha Pengasih LAGI Maha Penyayang.

Banyak ketikanya, perasaan dan emosi ini jugalah yang mengeheret kita kepada lembah kedukaan. Cemburu melulu, ambil berat yang melebihi perlu, iri dan dengki bersatu hingga ada saatnya, ia umpama ledakan gunung berapi; menghambur lava amarah yang amat panas lalu melebur cinta dan belas kasihan menjadi debu berterbangan.

Kala itu, hidup dirundung duka hingga kolam matamu menumpahkan air jernih yang bertali arus.....dan saat itu, perasaan serta emosi bukan lagi aset berharga yang menjadikan dirimu istimewa.

Yakinilah....perasaan dan emosi perempuan tidak cukup untuk menjadikan dirimu teguh mendepani hari mendatang kerana rasa reda dan pasrah terhadap takdir-NYA tidak akan pernah mampu ditatang dengan semata perasaan dan emosi perempuan, tetapi ujian dan kedukaan yang menimpa itu mampu dipempan sebaiknya oleh perasaan yang dipatri kekuatannya dengan iman dan ketaqwaan.

Justeru, binalah benteng imanmu kala matahari memancar indah, ketika tawa dan riang masih mengulit kehidupan sebelum datang awan mendung yang menumpahkan hujan lebat, kerana ketika itu, hanya dengan benteng iman yang teguh dapat melindungi dirimu dari hanyut dan lemas dek limpahan banjir yang tidak mengenal belas.

Kita sebenarnya sentiasa diuji, baik ia berwajah gembira atau ia tiba dalam rupa sengsara....namun di akhirnya, hanya pemilik emosi yang tunduk pada Yang Maha Pencipta sahaja akan muncul sebagai juara!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan